PENERIMAAN IT DALAM ORGANISASI:
CABARAN AWAL


Teknologi maklumat atau lebih mudah dikenali sebagai IT, boleh membawa banyak perubahan kepada organisasi di sektor awam dan swasta. Di Malaysia, IT telah menjadi agenda utama kerajaan dengan kesungguhannya melaksanakan projek Koridor Raya Multimedia. Dengan itu IT mudah dilihat sebagai pemangkin dalam menyelesaikan masalah dan sekali gus meningkatkan kecekapan organisasi. Memang menjadi hasrat kerajaan agar IT digunakan oleh setiap organisasi di seluruh negara.

Haruslah disedari bahawa penerimaan IT oleh organisasi perlu seiring dengan kemampuan individu dalam organisasi itu sendiri. Ini kerana cabaran awal yang akan dihadapi adalah sama ada mereka mampu membuat perubahan cara berfikir, perubahan sikap dan perubahan proses kerja.


Perubahan Cara Berfikir

Perubahan cara berfikir boleh berlaku dari kesan peningkatan ilmu pengetahuan dan pengalaman. Didalam era maklumat ini, pengetahuan setakat cerdik komputer (computer literacy) sudah tidak mencukupi. Sebaliknya seseorang individu harus tahu bagaimana IT sedang mengubah sesuatu organisasi. Bidang tugas kerjaya tertentu akan berkurangan atau mungkin pupus kerananya. IT juga telah menyebabkan sektor perniagaan mengamalkan konsep Perdagangan Elektronik Pemasaran Tanpa Sempadan. Banyak lagi perubahan yang boleh dibuat oleh IT, diterima pakai atau diubahsuai untuk digunakan dalam organisasi di negara kita. Soalnya sudahkah individu dalam organisasi mengorak langkah mencari peluang-peluang pembelajaran dan pendedahan tentang IT. Soalan seperti bagaimana IT boleh menyelesaikan sesuatu tugas harus sentiasa menagihkan jawapan. Lebih jauh dari itu seseorang individu dalam organisasi harus peka kepada perubahan yang berlaku di persekitarannya. Bagaimana organisasi perniagaan yang menfaatkan IT mewujudkan cabaran-cabaran baru dalam hubungkait urusannya dengan organisasi kerajaan perlu dikaji dan dicari jalan penyelesaiannya.

Yang pasti banyak aspek ilmu pengetahuan dan pengalaman IT yang harus diterokai. Andainya seseorang individu tidak terdedah kepadanya pasti cara berfikir yang diamalkannya masih cara lama tanpa perubahan. Dengan itu tindakan yang diambil yang ada hubungkaitnya dengan organisasi lain mungkin sudah tidak sesuai, tidak cekap atau tidak berlandaskan perancangan dan faedah jangka panjang.


Perubahan Sikap

Perubahan sikap antaranya akan mempengaruhi sama ada cepat atau lambatnya penerimaan IT oleh seseorang individu. Sikap tunggu dan lihat, jika diamalkan akan menjadi penghalang utama kepada penerimaan IT. Perlu juga disedari bahawa IT akan terus berkembang dan maju. Penemuan innovasi IT pada hari ini akan menjadi alat atau kaedah penggunaan umum pada sedikit masa ke hadapan. Namun seseorang individu harus mengambil langkah pertamanya dalam menggunapakai IT dengan mengambil kira pilihan dan kemungkinan yang boleh dibuat dalam membuat perubahan pada masa hadapan bagi faedah jangka panjang.

Yang penting di sini adalah mula menerimapakai sesuatu teknologi pada saat dan ketika yangsesuai; tidak terlalu awal hinggakan terdedah kepada risiko kecacatan teknologi disamping kos yang tinggi atau tidak tidak terlalu lewat hinggakan ketinggalan masa dalam penggunaan teknologi.


Perubahan Proses Kerja

Andainya seseorang individu dalam organisasi telah mengambil sikap positif terhadap perubahan cara berfikir dan perubahan sikap tadi, penerimaan IT dalam organisasi masih tidak menjanjikan impak yang maksimum jika tidak wujud perubahan proses kerja. Seseorang individu harus bersediamenerima hakikat bahawa proses kerja yang dikendalikannya dalam organisasi perlukan perubahan. Ini kerana penggunaan IT dalam organisasi boleh mengganti atau memendekkan proses kerja tertentu, di samping meningkatkan kecekapan proses kerja yang lain. Dengan itu individu yang terlibat terpaksa mengubahsuai skop dan fungsinya dalam organisasi. Proses kerjanya yang baru ini hanya boleh menyumbang ke arah peningkatan kecekapan organisasi keseluruhannya andainya individu tersebut terus dapat memainkan peranannya dengan lebih cekap dan berkesan.

Tidak dapat dinafikan bahawa IT mampu membawa perubahan dalam organisasi. Walaubagaimanapun yang pentingnya individu dalam organisasi itu harus bersedia menerima perubahan agar proses perubahan ini akan terus meningkatkan kecekapan organisasi.


Laman Web ini disediakan oleh: M.SHOKRI YAHAYA
Dikemaskini pada: 250698